5 Tips mengajar anak untuk solat pada usia 7 tahun

Seringkali saya ditanya oleh ibu bapa yang anak-anaknya sudah menamatkan pembelajaran mereka di Tadika Aulad Musleh (Little Caliphs) berkenaan praktikal solat anak-anak mereka.

“Semasa dia di tadika, anak saya rajin solat. Semua bacaan solat anak saya hafal. Surah-surah lazim, doa selepas solat pun dia tahu. Bila dah masuk sekolah rendah, anak saya sudah tidak seperti dahulu. Bagaimana ye Puan?”

Nabi Muhammad SAW menyuruh kita mengajar anak untuk solat sejak umurnya 7 tahun dan pukul (bukan untuk mendera) jika anak tidak menunaikan solat saat umurnya menginjak 10 tahun. Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Abu Daud).

Justeru, permulaan kita untuk serius tentang solat anak-anak kita adalah ketika umurnya 7 tahun. Ketika usia ini, anak-anak telah pun meninggalkan alam tadika. Mereka kini di sekolah rendah. Walau bagaimanapun, anak-anak ini telah mempunyai ilmu tentang solat. Semuanya telah diajar ketika di tadika.

  1. Anak kita tanggungjawab kita. Anak akan melihat ibu bapa sebagai role model. Pastikan kita menjaga solat kita sebelum mengajar anak-anak untuk menunaikan solat.
  2. Pada usia anak 7 tahun, berikan arahan untuk mereka menunaikan solat setiap kali masuk waktu solat. Samada mereka solat atau tidak, itu bukan soalnya. Yang penting ibu bapa beri peringatan itu. Ibu bapa jangan culas untuk mengingatkan anak dan memberi arahan kepada mereka. Secara tidak sedar, arahan kita akan masuk dan melekat di dalam minda separa sedar mereka jika kita konsisten melakukannya. Lakukan perkara ini 5 kali sehari sejak usianya 7 tahun hingga 10 tahun. Pengalaman saya, ini fasa yang sukar kerana kita sendiri yang sering terlupa atau tidak sampai hati nak mengejutkan anak yang sedang tidur terutamanya waktu subuh.
  3. Ceritakan pada anak bahawa kita mendidik mereka untuk menunaikan solat bukan untuk kita. Tetapi kerana Allah semata-mata. Beritahu mereka bahawa mereka akan memperoleh syurga dan segala nikmat di dalamnya apabila mereka solat. Ceritakan tentang nikmat-nikmat syurga yang sesuai dengan tahap pemikiran anak kita.
  4. Bagi ibu bapa berkerjaya, waktu solat Zohor dan Asar biasanya anak-anak akan berada di sekolah agama, pusat jagaan, transit atau di rumah pengasuh. Cara terbaik adalah pesan pada mereka supaya menunaikan solat Zohor dan Asar pada waktu pagi sebelum mereka ke sekolah dan kita keluar ke tempat kerja. Bila pulang nanti, tanya pada mereka samada mereka tunaikan solat Zohor dan Asar itu atau tidak.
  5. Sama juga sekiranya kita ingin meninggalkan anak di kampung semasa cuti sekolah atau ketika kita mahu outstation kerana urusan kerja. Pesanan penting kita pada mereka, ‘Masa ibu tiada nanti, pastikan adik solat 5 kali sehari ye.’ Saat kita menelefon mereka untuk bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.

Mudah-mudahan, anak yang kita didik untuk menjaga solat ini akan terjaga akhlaq dan imannya. Kelak, merekalah yang akan mendoakan kita selepas kematian kita. Barulah boleh kita katakan, anak ini adalah harta dunia dan akhirat. Wallahua’lam.