Bagaimana Perkataan Mempengaruhi Kanak-Kanak?

Apa yang saya baca pagi ini sangat menarik. Ia tentang bagaimana perkataan yang kita sebut pada anak-anak akan mempengaruhi mereka hingga mereka besar. Bila anak buat ‘perangai’, selalunya susah bagi kita untuk mengawal reaksi spontan atau mengawal perkataan pertama yang akan keluar dari mulut kita.

“Diam! Jangan menjawab!”

“Mama letih. Boleh tak awak jangan bergaduh.”

“Berhenti menjerit-jerit macam orang gila.”

“Mak dah cakap beratus-ratus kali. Itu pun awak tak faham ke?”

“Asyik main bola je. Mana nak pandai. Main bola tak bermanfaat. Cubalah baca buku. Dengar lagu nasyid.”

Ya, kita tak berniat pun untuk merendah atau memperlekehkan anak kita. Apa yang kita cakap itu… it’s just what it is. Nak mendidik. Tak bermaksud apa-apa pun.

Cumanya, kita sedang berhadapan dengan bayi, kanak-kanak atau remaja yang mana impak pertama itu sangat penting dalam kehidupan mereka. Dan impak pertama itu selalunya negatif.

Ia boleh jadi perkataan kita, nada suara atau cara kita memandang mereka. Selalu kita rangkumkan ketiga-tiga ini sekali tanpa kita sedar. Yang sedihnya, kita tak perasan respon spontan kita itu mengecewakan anak.

Kita mahu melindungi atau mengajar mereka. Kita mahu mereka lebih berdisiplin dan jadi lebih baik.

Tapi pada kanak-kanak, mereka ambil komen itu dan take it personally. Ini paling pedih.

Asalnya cuma mahu mereka berhenti menjerit atau bergaduh tapi ia membesar jadi masalah yang lain pula. Anak jadi tak berkeyakinan, low self-esteem, suka mengamuk yada yada.

Sebab apa?

Sebab mereka membesar di dalam rumah yang mana mak ayahnya menggunakan perkataan-perkataan yang merendahkan mereka, memalukan serta bahasa yang tidak menghormati anak-anak. Menyebabkan anak rasa tak cukup baik atau tak sempurna.

“Kalau mama tahu awak nakal macam ni, masa awak kecil dulu mama cekik biar mati.”

“Kau memang anak yang celaka! Menyusahkan aku.”

“Perangai macam ni jangan harap la nak berjaya.”

“Bodoh! Bangang!”

“Kenapa kau tak ikut perangai sepupu kau tu? Kan elok kalau jadi macam dia.”

“Pemalas!”

“Tak guna punya anak. Minta tolong sikit pun tarik muka.”

“Kau memang anak derhaka kan. Mak tak redha dengan kau. Memang susah la nak hidup kalau mak dah tak redha. Biar kau rasa.”

“Dah lupa ke Syurga tu bawah telapak kaki ibu? Perangai macam ni, jangan harap la nak masuk Syurga.”

Allahu…Sedar tak sedar, ibu bapa banyak mengkritik dan menggunakan perkataan negatif dengan anak-anak. Dengan harapan anak kita jadi lebih baik dan bertanggungjawab. Atau Kita rasa anak kita adalah hak milik kita. Maka kita rasa berhak untuk buat apa saja atau cakap apa saja pada mereka.

Semakin anak-anak ini membesar, perkataan ibu ayah mula memberi pengaruh yang kuat pada emosi mereka. Anak-anak rasa tidak disayangi, tidak diperlukan, tak layak, tiada siapa memahami serta boleh melindungi mereka.Mereka membesar dengan rasa ‘aku tak sempurna’ dan sering menyalahkan diri sendiri. Mereka sentiasa rasa diperhatikan dengan ‘critical lens’. Mereka sentiasa rasa ‘being judged’.

Apabila mereka dewasa, secara emosinya, mereka tidak boleh membuang rasa bersalah itu. Mereka tidak dapat menghilangkan beban perkataan negatif yang mak dan ayah sentiasa sebut pada mereka semasa mereka kecil.

Walaupun mereka sudah dewasa, mereka terima dan telan apa saja yang mak ayah perkatakan pada mereka. Seluruh kehidupan mereka ditafsirkan oleh apa yang mereka dengar selama ini. Bukan oleh kekuatan diri mereka sendiri.

Allahu…Muhasabah besar untuk saya dan kita semua. Perlu lebih berhati-hati lagi selepas ini. Jangan sampai apa yang keluar dari mulut kita ke telinga anak itu menyebabkan mereka depressed atau kemurungan bila besar nanti.

Nauzubillah…Cukup-cukuplah statistik yang ada. Jangan Kita tambah lagi. Kadang kita ingat mereka tidak mampu hadapi cabaran hidup. Tapi rupanya, kita yang menyebabkan mereka jadi begitu.

Astagfirullah…Banyak-banyak doa pada Allah swt supaya Allah swt bantu kita dalam mendidik anak. Kita tak sempurna. Anak kita juga tak sempurna. Moga Allah swt membantu dan membimbing kita.

Kita mahu lahirkan lebih ramai anak muslim yang hebat. Yang akan memperjuang dan mempertahankan agama. Mesti bermula dari kita.

#share kan perkongsian ini agar ia memberi manfaat kepada ramai ibu bapa di luar sana.

#didikanaksecarasedar