Patutkah Anak-Anak Dipakaikan Barangan Kemas?

Baru-baru ini tular di media sosial, seorang pencuri/peragut telah bertindak memotong rantai yang dipakai seorang kanak-kanak ketika dia dan keluarganya sedang menghadiri sebuah acara di Shah Alam.

Namun nasib pencuri/peragut tersebut tidak berpanjangan kerana tindakannya itu berjaya dirakam video oleh ibu kepada kanak-kanak tersebut. Wanita itu pada mulanya mahu merakam momen bersama keluarga tetapi apa yang terjadi, dia telah merakam suatu insiden yang pastinya akan menjadi peringatan buatnya dan juga kepada yang lain.

Apabila video tersebut tular, warganet memberi pelbagai reaksi. Namun kebanyakan mereka menyatakan pendapat bahawa kanak-kanak belum sesuai lagi untuk dipakaikan barangan kemas hatta ’emas Korea’ sekali pun.

Tidak dinafikan, wanita dan barangan kemas tidak dapat dipisahkan. Sama ada kanak-kanak patut memakai barang kemas atau tidak, ia adalah keputusan yang harus dibuat ibu bapa setelah meneliti kes-kes tertentu. Terdapat beberapa potensi bahaya yang berkait dengan kanak-kanak sekiranya mereka dipakaikan barang kemas, seperti:

Risiko tercekik: Kepingan kecil barang kemas seperti manik atau anting-anting boleh mendatangkan risiko tercekik sekiranya kanak-kanak tidak sengaja memasukkan barang tersebut ke dalam mulut mereka.

Strangulation hazard: Rantai boleh menyumbang kepada bahaya tercekik jika tersangkut pada sesuatu atau kanak-kanak (tanpa sengaja) menariknya.

Jangkitan: Subang atau anting-anting boleh menjadi punca kehadiran bakteria tidak mustahil ia boleh merebak ke dalam saluran telinga yang akhirnya boleh menyebabkan jangkitan.

Reaksi alahan: Sesetengah kanak-kanak mungkin kulit mereka alah kepada logam atau bahan tertentu yang digunakan dalam perhiasan. Jika dibiarkan mereka mungkin akan menggaru dan akhirnya meninggalkan luka pada anggota badan yang dipakaikan barangan kemas.

Di sebalik potensi bahaya ini, terdapat juga beberapa faedah terhadap kanak-kanak yang memakai barangan kemas. Ini kerana ia (barang kemas) boleh menjadi salah satu cara untuk kanak-kanak mengekspresikan diri dan keperibadian mereka. Ia juga boleh menjadi cara untuk kanak-kanak rasa istimewa dan disayangi.

Seandainya ibu bapa memutuskan untuk membenarkan anak-anak memakai barangan kemas, kami ada beberapa cadangan / perkara yang boleh ibu bapa lakukan untuk memastikan anak-anak selamat. Antaranya:

  1. Pilih barang kemas yang bersesuaian dengan saiz dan usia anak anda. Rantai leher (sebagai contoh) hendaklah muat dengan kemas dan tidak terlalu ketat (hampir membelit leher).
  2. Elakkan perhiasan yang diperbuat daripada kepingan kecil dan longgar. Ini boleh menyumbang kepada risiko tercekik.
  3. Awasi anak-anak apabila mereka memakai barangan kemas terutama ketika berada di luar. Tetapi, adalah lebih baik jika anda tidak memakaikannya ketika berada di luar rumah. Kadar terdedah kepada risiko diragut atau hilang adalah lebih tinggi.
  4. Periksa barangan kemas anak-anak sekerap yang boleh untuk mengenalpasti tanda-tanda kerosakan atau (skru) haus. Sekiranya rosak, ia perlu ditanggalkan atau diganti baru.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Jangan terlalu ghairah untuk memakaikan barangan kemas kepada anak-anak. Ingat, banyak mata memerhati. Tambahan pula dalam suasana sekarang yang agak kurang selamat jika kita terlalu mempamerkan ‘kekayaan’.