“Ibu, kenapa matahari panas?”
“Papa, kenapa adik tak boleh pandu kereta?’
“Mama… kenapa baby minum susu dia muntah. Tapi bila kakak minum susu, kakak tak muntah pun?”
“Kenapa kucing ada empat kaki?”
Daaa…. 1001 soalan ditanya dan terus ditanya sampai satu tahap, kita jadi bosan, malas nak jawab dan paling senang kita balas, “Mama tak tahu!” atau “Nanti tanyalah cikgu kat sekolah. Papa tak tahu!” dan lain-lain alasan yang kita beri.
Sebenarnya, bila anak banyak bertanya ia adalah suatu perkara yang baik secara umumnya. Ini kerana bila anak-anak tanya pelbagai jenis soalan termasuk soalan-soalan pelik, ia merupakan salah satu daripada perkara penting dalam proses pembelajaran dan pembangunan mereka.
Ia juga menunjukkan bahawa anak kita itu seorang yang ingin tahu (curious), (mahu) menceburi / terlibat (engaged) dengan sesuatu dan juga berminat terhadap perkara-perkara di sekeliling mereka.
Jadi, apabila anak-anak bertanya, ini secara tidak langsung membantu mereka untuk:
- Membina Ilmu
Apabila mereka tanya macam-macam soalan, ini dapat membantu mereka untuk belajar maklumat baru dan sekaligus membina kefahaman terhadap dunia di sekitar mereka.
2. Membangunkan Kemahiran Berfikir Secara Kritis
Bila anak-anak menyoal, ini menunjukkan yang mereka mereka sedang belajar untuk berfikir secara kritis dan menganalisa maklumat. Perkara ini sangat penting untuk meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.
3. Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi
Tahukah anda, bila anak-anak rajin bertanya ia boleh membantu meningkatkan kemahiran komunikasi mereka melalui luahan buah fikiran dan idea? Jadi, bila mereka bertanya, jawab sahaja apa yang anda tahu.
4. Menguatkan Hubungan
Bila anak-anak tanya ia merupakan salah satu cara yang bagus untuk mereka berhubung dengan orang lain dan membina ukhwah. Ia juga menunjukkan bahawa mereka berminat terhadap perspektif tersebut dan cuba mengalaminya seperti orang lain. Anda sudah tentu tak mahu anak jadi kera sumbang, kan?
Bagaimana pun, penting untuk ibu bapa dan penjaga agar sentiasa sabar dan memberi galakan bila mana anak-anak tanya macam-macam soalan. Paling penting anda mestilah beri jawapan yang sesuai dengan usia mereka.
Ini dapat membantu mereka agar kekal ‘curious‘ dan sentiasa mahu belajar perkara baru selain membina keyakinan dalam diri mereka melalui soalan-soalan yang dilontarkan.
#AuladMusleh #Parenting #Knowledge