Kita sedia maklum bahawa dalam dunia ini, tidak semua orang dilahirkan dalam keadaan yang sempurna serba-serbi. Ada yang dilahirkan dalam keluarga berada. Jadi kehidupannya sudah tentu lebih baik daripada anak-anak yang dilahirkan dalam keluarga sederhana atau miskin.
Pun begitu artikel ini bukan hendak menyentuh tentang kelebihan anak orang kaya atau miskin. Sebaliknya kami ingin berkongsi bagaimana ibu bapa boleh mengajar anak-anak supaya sayang dan hargai barang-barang kepunyaan mereka tanpa mengira status atau latar belakang yang disandang.
Mengajar anak-anak tentang perkara ini sangat penting dalam usaha kita sebagai ibu bapa untuk memupuk rasa tanggungjawab, empati dan juga hormat dalam diri anak-anak. Ketiga-tiga sikap ini jika ditanamkan sedari kecil, insya-Allah, apabila anak-anak dewasa kelak, dia akan menjadi insan yang disenangi ramai.
Apabila memperkatakan tentang barang-barang, ia tidak semestinya merujuk kepada beg sekolah atau peralatan menulis anak-anak. Tetapi ia merangkumi semua termasuklah katil, almari, bilik tidur, permainan dan lain-lain.
Berikut kami kongsikan beberapa cara untuk galakkan anak-anak menghargai dan seterusnya menyayangi barang-barang kepunyaan mereka:
- Tunjukkan contoh – Ibu bapa adalah cerminan sikap anak-anak. Mereka belajar dengan memerhatikan tingkah laku ibu bapa setiap hari, baik di rumah mahu pun di luar. Sekiranya anda tunjukkan cara dan bagaimana anda hargai barang-barang milik anda, mereka pastinya akan turut cenderung melakukan hal yang sama.
- Libatkan mereka semasa proses pembelian – Apabila anda membeli sesuatu untuk anak-anak, pastikan mereka juga terlibat sama seperti memilih atau membayar barangan tersebut. Ini boleh membantu mereka hargai dan menjaga barang tersebut dengan baik.
- Maklumkan nilai barangan tersebut – Terangkan kepada anak-anak akan nilai barangan yang mereka miliki, sama ada baik daripada segi kos kewangan atau nilai sentimental. Bantu mereka memahami bahawa barang-barang ini tidak boleh dibuang, dirosakkan begitu sahaja dan perlu dijaga sebaiknya.
- Suburkan rasa tanggungjawab – Galakkan anak-anak agar sentiasa bertanggungjawab ke atas barang-barang mereka. Ini bagi memastikan mereka teratur, menyimpan barang-barang dengan betul dan memeliharanya daripada sebarang kerosakan.
- Beri pujian – Apabila anak-anak dapat menjaga barang-barang mereka dengan baik, jangan sesekali lokek untuk beri mereka pujian selain hargai usaha mereka. Peneguhan positif ini secara tidak langsung dapat mendorong mereka untuk terus menjaga barang-barang dengan baik dan seterusnya mengekalkan sikap ini hingga dewasa.
Dengan mengajar anak-anak untuk menyayangi dan menjaga harta benda mereka, ia dapat membantu ibu bapa mengajar serta menerapkan nilai-nilai mulia yang mana sangat berguna kepada mereka pada masa hadapan.
Untuk pertanyaan tentang Tadika Aulad Musleh, klik link ini: https://wa.link/aqz82c