Potong Kuku Anak Jadi Lebih Mudah Dengan Tip Ini!

Potong kuku? Ia kedengaran perkara biasa dan tidaklah rumit mana pun. Tetapi bila hendak potong kuku anak-anak terutama yang masih kecil, ia boleh bertukar menjadi satu cabaran maha hebat buat ibu bapa. “Oh, tak mudah sebenarnya…”

Hari ini kami kongsikan beberapa tip mudah bagaimana hendak memotong kuku anak-anak sesuai mengikut usia masing-masing.

Untuk bayi baru lahir, kuku mereka sangat lembut dan mudah untuk dipotong menggunakan pengetip kuku atau gunting kuku bayi (baby nail scissor). Jadi pastikan anda potong kuku bayi ini secara lurus (straight across) dan elakkan memotongnya terlalu dekat dengan kulit (jari) bayi.

Apabila usia bayi semakin meningkat, kuku mereka akan tumbuh lebih cepat. Namun apa yang perlu anda lakukan adalah memotongnya dengan lebih kerap berbanding ketika mereka baru lahir (newborn). Selepas itu pastikan kuku mereka tiada sebarang koyakan atau terbelah (akibat potongan tidak kemas).

Bagi anak-anak berusia satu hingga tiga tahun, mereka mula menunjukkan sikap untuk mengelak atau tidak gembira apabila kuku mereka dipotong. Untuk selesaikan masalah ini, anda hendaklah lakukannya ketika mereka sedang tenang atau relaks.

Contohnya selepas mandi. Anda juga mungkin boleh cuba cara ini iaitu menyanyikan sebuah lagu atau bercerita untuk alihkan perhatian mereka. Tetapi sekiranya anak anda masih bergelut atau mengelak untuk dipotong kuku, anda boleh minta orang lain untuk pegang mereka sementara anda potong kuku.

Anak-anak yang sudah masuk tadika biasanya lebih mudah untuk memberi kerjasama. Untuk itu anda disarankan guna pengetip kuku saiz kanak-kanak atau gunting kuku bayi dan potong kuku secara lurus. Anda juga boleh gunakan kikir paku (nail file) untuk licinkan potongan.

Bagi yang sudah bersekolah mereka biasanya sudah pandai buat sendiri. Anda cuma perlu mengawasi mereka terutamanya jika melakukannya kali pertama bagi memastikan mereka potong kuku dengan betul. Ajarlah mereka untuk potong kuku secara lurus. Elakkan memotong terlalu rapat dengan kulit (jari).

Setelah mengetahui tip-tip memotong kuku anak-anak mengikut peringkat usia mereka, di bawah; kami kongsikan pula tip tambahan untuk memotong kuku anak-anak.

  1. Gunakan pengetip kuku atau gunting yang tajam – Peralatan yang tumpul boleh menyukarkan kita untuk memotong kuku anak-anak. Selain itu, peralatan yang tumpul juga boleh meningkatkan risiko terpotong kulit (jari).
  2. Potong kuku secara lurus – Cara ini boleh menghalang mereka daripada mencapai sesuatu yang boleh menyebabkan (objek tersebut) terkoyak.
  3. Elak potong kuku terlalu rapat dengan kulit (jari) – Kutikel adalah kulit yang menyaluti keliling kuku. Jika tersilap memotongnya ia boleh menyebabkan kesakitan dan jangkitan.
  4. Rata dan rapikan potongan kuku yang yang kasar menggunakan kikir paku – Ini boleh membantu mengelakkan kuku daripada tersangkut (tercarik) sesuatu.
  5. Cuci keseluruhan tangan selepas memotong kuku – Ini boleh bantu menghalang penyebaran kuman.

Sebelum kami akhiri perkongsian pada hari ini, kami beri sedikit tip bagaimana hendak mengendalikan situasi di mana anak-anak takut untuk dipotong kuku.

  1. Sabar dan fahami mereka – Ia akan ambil sedikit masa untuk anak-anak membiasakan diri dipotong atau memotong kuku mereka.
  2. Cuba jadikan ia suatu pengalaman positif – Beritahu atau jelaskan kepada anak-anak betapa pentingnya memotong kuku. Jika boleh biarkan mereka sendiri yang pilih pengetip kuku atau apa sahaja produk penjagaan kuku ketika membeli.
  3. Beri ganjaran – Sekiranya anak anda mampu untuk ‘duduk diam’ ketika memotong kuku mereka, berikan mereka sedikit ganjaran seperti pelekat (sticker) atau gula-gula.
  4. Jika anak anda masih takut, mungkin anda boleh bawa mereka jumpa doktor kanak-kanak untuk minta bantuan – Mereka mungkin boleh potongkan kuku anak-anak kerana mereka lebih memahami (psikologi kanak-kanak) dan profesional.

Salah satu aspek menjaga kebersihan adalah sentiasa memastikan kuku sentiasa pendek dan bersih. Jadi dengan mengetahui tip-tip yang dikongsikan ini, mudah-mudahan tugasan anda untuk pastikan kebersihan dan kesihatan anak-anak terjaga akan jadi lebih mudah dan lancar. Selamat mencuba.

Tonton cara memotong kuku kanak-kanak DI SINI.

Hubungi kami di: https://wa.link/aqz82c