Cadangan Aktiviti-Aktiviti Menarik Ketika Cuti Sekolah

Sebagai ibu bapa kita pastinya sudah merancang banyak perkara untuk anak-anak termasuklah aktiviti yang bakal dilakukan aapabila menjelangnya cuti sekolah.

Bagi mereka yang masih buntu mencari idea untuk lakukan aktiviti bersama-sama anak-anak, berikut beberapa cadangan yang boleh anda ambil dan dapat memenuhi masa bermanfaat sepanjang cuti sekolah ini.

  1. Meneroka Keajaiban Alam Semulajadi

Apa kata cuti sekolah kali ini anda bawa anak-anak anda ‘menjelajah’ alam semulajadi yang ada dalam negara. Antara kawasan alam semulajadi yang boleh dijunjungi adalah taman-taman negara, kawasan rizab alam semula jadi atau taman botani.

Selain itu anda juga boleh bawa anak-anak mendaki bukit atau gunung, berkelah tepi pantai atau di kaki air terjun. Pada masa sama mereka dapat belajar tentang flora dan fauna yang berbeza selain dapat menghirup udara segar.

2. Kelas Seni Kreatif

Anda tahu anak-anak anda gemarkan seni. Jadi, jom serlahkan sisi artistik anak-anak anda dengan mengadakan sesi kraf di rumah. Ya, kita mulakan di rumah dulu. Caranya, pertama anda sediakan satu sudut seni yang disertakan dengan cat, berus, kertas dan pelbagai alatan seni yang lain. Selepas itu galakkan mereka mencipta apa sahaja karya mengikut imiginasi mereka.

Kemudian anda tukar pula dengan seni membuat kolaj. Untuk aktiviti lebih mencabar anda juga boleh mengajak mereka membina arca menggunakan bahan-bahan kitar semula. Kami pasti imaginasi anak-anak pasti akan ‘meroket’!

3. Memasak

Jangan tak tahu, aktiviti memasak juga merupakan satu daripada aktiviti yang boleh menyerlahkan bakat seni anak-anak. Dalam kata tonjolkan sisi ‘chef kecil’ dalam diri anak-anak. Mula-mula sekali anda hendaklah merancang sesi memasak yang menyeronokkan yang mana mereka boleh bantu menyediakan resipi mudah seperti sandwich, menggoreng nugget atau membuat minuman.

Apabila ada kelapangan anda juga boleh mengajar mereka menyediakan pastry dan roti. Kemudian biarkan mereka mengukur bahan, mencampur dan menghias mengikut kreativiti mereka. Ini juga peluang yang baik untuk mengajar mereka tentang pemakanan dan keselamatan dapur.

4. Family Game Night

Pilih satu malam yang dikhaskan untuk dijadikan family night game untuk keluarga anda. Apa yang perlu anda lakukan adalah kumpul barang-barang permainan seperti dam, scrabble, catur dan lain-lain dan pastikan semua orang menikmati permainan tersebut.

Apabila semua ahli keluarga terlibat dalam persaingan, kelak pasti ada senda tawa dan usik-mengusik. Ini bukan sahaja dapat mencipta kenangan tetapi dapat mengekalkan keseronokan seisi keluarga.

5. Teroka Muzium dan Pameran

Jadikan pembelajaran sebagai suatu pengembaraan yang menyeronokkan dengan dengan melawat muzium tempatan, galeri seni atau pameran sains. Bawa anak-anak untuk pelajari dan hayati pelbagai sejarah negara, kesenian dan budaya tempatan, sains dan teknologi bersama-sama.

Sekarang banyak tempat menawarkan pameran interaktif yang direka khusus untuk kanak-kanak dan ini menjadikannya suatu pengalaman yang menyeronokkan dan penuh informatif.

5. Sukan Luar dan Rekreasi

Jom aktifkan fizikal dan minda dengan pelbagai aktiviti luar rumah! Bawa anak anda berbasikal, bermain kasut roda, berenang atau bermain permainan yang menyeronokkan di taman seperti badminton, galah panjang atau pun bermain layang-layang. Ini antara cara yang bagus untuk menggalakkan kecergasan fizikal sambil menikmati masa berkualiti bersama keluarga tersayang.

6. Maraton Filem Keluarga

Cipta pengalaman lain daripada yang lain dengan mewujudkan sebuah home theater yang selesa di rumah dengan menganjurkan maraton filem sekeluarga. Pilih filem-filem kegemaran anak-anak anda atau perkenalkan mereka kepada filem yang banyak memberi pengajaran dan nasihat. Anda juga boleh buat popcorn, bersandar di sofa dan nikmati aktiviti ini seperti berada di panggung wayang.

Apa-apa pun, perkara paling penting adalah setiap orang daapt berseronok dan menghargai masa yang dihabiskan bersama. Anak-anak tidak akan ingat apa yang anda belanjakan untuk mereka. Tetapi mereka pasti akan kenang masa-masa yang anda lalui dan harungi bersama mereka.

Oleh itu jom jadikan cuti sekolah sebagai masa untuk mencipta kenangan terindah seumur hidup anak-anak.

Cadangan tempat-tempat menarik di Malaysia. Tonton di SINI.

P/S Apa aktiviti anda dan keluarga pada cuti sekolah kali ini? Jom kongsi di ruangan komen!