6 Perkara Ibu Bapa Patut Tahu Tentang Batuk Kokol

Berita bertarikh 28 April 2023 yang disiarkan menerusi bharian.com.my (boleh baca di SINI) tentang peningkatan kes batuk kokol di Sabah sangat membimbangkan. Pertambahan kes sejak Januari itu telah membuatkan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menggesa para ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan sekiranya mereka mengalami simptom-simptom batuk kokol, maka hendaklah segera dibawa ke pusat rawatan berdekatan.

Batuk kokol atau pertussis adalah suatu jangkitan bakteria yang sangat menular dan boleh menjejaskan sistem pernafasan. Penyakit ini boleh dijangkiti sesiapa sahaja tetapi apabila kanak-kanak yang menghidapinya, ia boleh menjadi serius terutama kanak-kanak yang berusia kurang daripada enam bulan.

Bakteria yang menjadi punca batuk kokol dikenali sebagai Bordetella pertussis. Untuk mengambil langkah berjaga-jaga, kami kongsikan beberapa perkara penting yang perlu ibu bapa tahu tentang batuk kokol agar pencegahan awal dapat dilaksanakan dengan segera.

  1. Apakah gejala batuk kokol? – Batuk kokol lazimnya bermula dengan gejala seperti selesema yang turut ‘dihadiri’ hidung berair, demam ringan dan batuk. Secara beransur-ansur batuk bertukar menjadi lebih teruk dan paling dibimbangi berlakunya sawan batuk; laju dan kuat disertai bunyi ‘whoop‘ yang tinggi ketika seseorang itu cuba menarik nafas. Pun begitu, dalam kalangan bayi bunyi ‘whoop’ tidak kedengaran sebaliknya mereka mungkin akan mengalami apnea (pernafasan terhenti seketika atau warna biru / ungu muncul di permukaan kulit mereka.
  2. Bagaimana batuk kokol berjangkit? – Batuk kokol boleh merebak dengan mudah dari manusia ke manusia lain melalui udara terutamanya apabila orang yang dijangkiti mengalami bersin atau batuk. Batuk kokol paling mudah berjangkit ketika ia berada di peringkat awal yakni sebelum ciri-ciri batuk berkembang hingga (kira-kira) tiga minggu selepas batuk bermula.
  3. Bolehkah batuk kokol dicegah menerusi vaksinasi? – Ya, boleh. Ini kerana vaksinasi merupakan antara cara terbaik untuk melindungi anak-anak daripada batuk kokol selain membantu mencegah penyebarannya. Vaksin DTap (diphtheria, tetanus dan acellular pertussis) disyorkan untuk semua bayi dan kanak-kanak. Manakala dos penggalak (Tdap) pula disyorkan untuk golongan remaja dan dewasa.
  4. Apakah rawatan untuk batuk kokol? – Lazimnya rawatan melibatkan antibiotik dilaksanakan bagi membantu mengawal jangkitan, mengurangkan keadaan menjadi lebih teruk serta tempoh simptom. Bagi bayi-bayi yang kurang daripada enam bulan, seeloknya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan intensif.
  5. Apakah komplikasi batuk kokol? – Keadaan boleh menjadi lebih teruk terutamanya ke atas bayi dan kanak-kanak Antara komplikasi batuk kokol yang ibu bapa harus tahu adalah radang paru-paru, sawan dan kerosakan otak. Batuk kokol juga boleh membawa maut. Pun begitu kes sebegini jarang berlaku.
  6. Bolehkah pencegahan batuk kokol dilakukan? – Boleh. Pertama, bagi mengelakkan penyebarannya; pakailah penutup muka (face mask) yang bertujuan untuk mengekalkan kebersihan pernafasan yang baik terutama ketika mengalami batuk dan bersin. Kemudian, keraplah mencuci tangan selain berhubung rapat dengan pesakit. Sekiranya anda atau anak anda mengalami gejala batuk kokol, usah bertangguh lagi! Segeralah ke klinik atau hospital berhampiran dengan segera bagi mendapatkan rawatan dan saringan ujian kesihatan.

Kesimpulannya, sentiasalah pantau kesihatan anda dan keluarga di samping terus mengamalkan kebersihan walau di mana sahaja anda berada. Mencegah lebih baik daripada mengubati.