Agar Anak-Anak Lebih Bersemangat Siapkan Kerja Sekolah Ketika Bercuti

Cuti sekolah kembali lagi! Pastinya ini saat-saat yang ditunggu anak-anak yang masih bersekolah.

Apabila masuk musim cuti sekolah, pasti ada ibu bapa yang ‘perah otak’ apabila ia berkait dengan kerja sekolah yang diberi guru anak-anak mereka sebelum cuti bermula.

Ramai akui, kadang mereka buntu untuk menyuruh anak-anak menyiapkan tugasan yang diberi. Jika dimarahi sekali pun, tindakan tersebut tidak membuahkan hasil.

Jadi, apa solusi yang perlu diambil untuk atasi masalah ini? Hari ini kami kongsikan beberapa tip berguna yang boleh ibu bapa gunakan untuk menggalakkan anak-anak supaya menyiapkan kerja sekolah mereka dan dalam masa sama, mereka dapat menikmati cuti sekolah dengan gembira:

Pertama, sediakan jadual. Pastikan anda sediakan satu jadual khusus untuk mereka buat kerja sekolah. Tentukan slot masa tertentu setiap hari agar rutin ini dapat membantu mereka mengekalkan konsistensi.

Kedua, masa yang seimbang. Ketika anda memperuntukkan masa untuk mereka buat kerja rumah, anda juga perlu utamakan masa untuk mereka bersantai, bermain dan terlibat dengan aktiviti keluarga. Keseimbangan ini sangat penting untuk memastikan anak-anak mengisi semula kembali bersemangat dan dapat menikmati percutian mereka.

Ketiga, ciptakan persekitaran belajar yang baik. Anda boleh sediakan suatu ruang yang tenang dan teratur untuk mereka siapkan kerja sekolah yang diberi guru. Pastikan ruang tersebut bebas daripada sebarang kekacauan bunyi, orang ramai dan lain-lain agar mereka dapat tumpukan perhatian terhadap kerja sekolah.

Keempat, bahagikan mengikut mata pelajaran. Ada pelbagai mata pelajaran yang harus mereka beri tumpuan / siapkan. Oleh itu anda boleh tetapkan, kerja sekolah mana yang mereka dapat selesaikan dalam tempoh tertentu. Sebagai contoh, subjek Pendidikan Seni mungkin akan mengambil masa yang lama berbanding subjek Matematik. Jadi, anak-anak boleh selesaikan dahulu kerja sekolah Matematik terlebih dahulu

Kelima, tetapkan matlamat. Galakkan kanak-kanak untuk mereka tetapkan matlamat yang boleh dicapai untuk menyiapkan kerja sekolah ketika musim cuti sekolah. Dengan cara ini ia dapat membantu mereka kekal bermotivasi hingga sekolah dibuka semula kelak.

Keenam, sediakan ganjaran. Tidak salah untuk anda sediakan sedikit ganjaran atas usaha mereka untuk menyiapkan kerja sekolah. Apabila tiba musim cuti sekolah berikutnya, mereka akan rasa teruja untuk terima ganjaran kerana dapat menyiapkan kerja sekolah mereka.

Ketujuh, tawarkan diri untuk membantu. Anda boleh tawarkan diri untuk membantu anak-anak siapkan kerja sekolah mereka. Namun ini bukan bermaksud anda yang akan buat kerja mereka dari mula hingga akhir. Tawarkan diri di sini bermaksud anda terbuka untuk memberi pertolongan pada bila-bila masa sepanjang mereka menyiapkan kerja sekolah.

Kelapan, elakkan gajet. Jangan sesekali tawarkan apa juga gajet kepada anak-anak ketika mereka menyiapkan kerja sekolah. Dikhuatiri fokus mereka bukan terarah kepada kerja sekolah. Sebaliknya ‘sibuk’ bermain games.

Kesembilan, gunakan metod yang lebih menarik. Cadangan ini khusus untuk kerja sekolah anak-anak yang melibatkan kreativiti seperti subjek Pendidikan Seni.

Tip-tip ini adalah bertujuan untuk menjadikan tugasan menyiapkan kerja sekolah sebagai suatu pengalaman positif yang dapat menyokong pembelajaran tanpa membebankan anak-anak. Apabila keseimbangan antara pembelajaran dan masa lapang dapat dicapai, maka secara tidak langsung anda telah membantu mereka memanfaatkan cuti sepenuhnya sambil memastikan pengajian tetap berlangsung setiap masa.