Cara-Cara Menyemai Semangat Patriotik Dalam Diri Anak-Anak

31 Ogos merupakan tarikh yang sentiasa diingati khususnya rakyat Malaysia. Masakan tidak, ia merupakan tarikh bersejarah di mana negara tercinta ini mencapai kemerdekaan. Ketika menyambut Hari Kebangsaan ini, lazimnya ia dimeriahkan dengan memasang Jalur Gemilang di rumah, di premis perniagaan dan di tepi-tepi jalan.

Selain itu pelbagai program disediakan pelbagai pihak untuk sama-sama memeriahkan Hari Kebangsaan. Antara program yang selalu dianjurkan adalah perbarisan, pertunjukan udara dan tidak ketinggalan juga, pengisian rohani yang dilakukan di masjid-masjid seperti majlis bacaan Yaasin dan solat sunat Hajat.

Pun begitu, bagaimana pula dengan golongan kecil yang masih belum mengenali sepenuhnya apa itu Hari Kebangsaan? Adakah cukup dengan memberitahu mereka tentang pemasangan bendera itu menandakan kita sedang meraikan Hari Kebangsaan?

Semangat patriotik atau semangat cintakan negara harus disemai dalam diri kanak-kanak. Ini kerana apabila mereka dewasa kelak, mereka akan kenal asal usulnya dan kekal dengan jati diri bangsa yang merdeka dan berjiwa patriotik.

Menyemai semangat patriotisme dalam diri anak-anak dapat membantu mereka mengembangkan penghayatan, pemahaman dan penghormatan yang mendalam terhadap negara. Hari ini admin kongsikan beberapa cara yang berkesan untuk mencapai matlamat ini:

Tunjukkan contoh – Tunjukkan semangat patriotisme itu melalui tindakan anda. Cara paling mudah, apabila kedengaran lagu Negaraku, anda akan terus berdiri tegak hingga tamat. Anak-anak akan mengikut contoh terdekat untuk mereka jadikan sandaran.

Ajar mereka tentang sejarah negara – Kongsikan cerita dan peristiwa bersejarah negara yang sesuai dengan usia mereka. Pada masa sama bantu mereka memahami apa itu perjuangan, pencapaian dan pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan.

Simbol dan lagu kebangsaan – Anda boleh terangkan kepada mereka tentang kepentingan bendera untuk sesebuah negara, lagu kebangsaan dan simbol-simbol lain.

Perayaan kebudayaan – Jika berpeluang galakkan mereka untuk mengambil bahagian seperti perarakan Hari Kebangsaan anjuran tadika atau sekolah mereka. Dengan ini secara tidak langsung akan memupuk semangat kekitaan dalam diri anak-anak.

Lawati tempat bersejarah – Sempena cuti sekolah ini apa kata anda bawa mereka terokai tempat-tempat bersejarah, muzium atau monumen bersejarah. Disamping lawatan itu anda boleh terangkan kepada mereka tentang kepentingan tempat-tempat ini terhadap negara.

Sertai acara sukarelawan – Mungkin ada yang tak tahu dengan menggalakkan anak-anak mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat dan aktiviti sukarela dapat mengajar mereka tentang kepentingan menyumbang kepada masyarakat secara tidak langsung.

Media dan kesusasteraan – Jika anda ke perpustakaan atau kedai buku bersama anak-anak, sesekali perkenalkan mereka dengan buku-buku atau biografi tentang tokoh-tokoh negara. Jika ada filem-filem tempatan yang mengenengahkan cerita tentang pahlawan atau tokoh terdahulu seperti filem Mat Kilau, Leftenan Adnan dan lain-lain anda boleh tonton bersama-sama mereka. Perkenalkan buku, filem dan dokumentari yang menyerlahkan sejarah, budaya dan pencapaian negara anda.

Ketahuilah bahawa dengan menyemai semangat patriotisme, ia perlu dilakukan secara positif dan inklusif, menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi dan perpaduan. Dengan ini secara tidak langsung kita dapat memupuk rasa cinta yang mendalam terhadap negara sambil menambah pemahaman tentang dunia secara umumnya.