Suatu ketika dahulu, mengambil foto merupakan antara perkara yang jarang berlaku kecuali atas sebab-sebab tertentu seperti majlis hari jadi, majlis penyampaian hadiah di sekolah, majlis graduasi dan lain-lain.
Namun seiring perkembangan semasa, ditambah pula dengan ledakan teknologi, merakam foto atau merekod video pada hari ini bukanlah sesuatu yang janggal. Kewujudan telefon bimbit yang dilengkapi kamera telah menjadikan perkara ini seolah suatu kemestian atau setiap orang perlu tahu tentangnya.
Bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, mengambil foto atau merekod video kerana momen-momen tertentu bagaikan suatu kemestian sebelum ia dikongsi di akaun media sosial masing-masing.
Pun begitu semua ini bukanlah suatu yang mudah buat ibu bapa apabila berhadapan dengan anak-anak yang ‘camera shy’. Sebagai contoh, merakam potret keluarga sempena Hari Raya. Ada ibu bapa terpaksa bersabar dan ‘give up’ dengan kerenah anak yang camera shy.
Akhirnya foto yang dibidik tidak menepati kehendak mereka atau ia mungkin jadi bahan bualan kerana keengganan anak memberi kerjasama. Pun begitu, kita tidak bolehlah terus menyalahkan anak-anak seratus peratus dalam hal ini.
Masalah ini boleh diselesaikan dan hari ini, kami kongsikan beberapa tip menarik untuk bantu ibu bapa agar anak-anak rasa lebih selesa dan yakin untuk tampil hadapan kamera:
Kenali Kamera Dengan Lebih Dekat – Perkenalkan kamera melalui metode yang tidak ‘mengancam’ mereka. Biarkan mereka teroka kamera dan ciri-cirinya serta membenarkan mereka ambil foto yang disukai. Kebiasaan ini sedikit sebanyak boleh membantu mereka menjadi lebih selesa depan kamera.
Cipta Persekitaran Positif – Jadikan kamera sebagai alat yang menyeronokkan dan positif, bukannya sesuatu yang menakutkan. Galakkan mereka melihat ‘objek’ ini sebagai cara untuk berkongsi kegembiraan dan memori.
Jadi ‘Model’ – Tunjukkan kepada mereka bagaimana anda selesa bila beraksi di hadapan kamera selain tampil dengan yakin. Dengan itu mereka boleh tiru secara tidak langsung.
Galakkan Ekspresi Diri – Benarkan anak-anak luahkan perasaan mereka secara bebas di hadapan kamera. Biarkan mereka jadi diri sendiri melalui jenaka, kata-kata atau luahan fikiran mereka secara terbuka.
Beri Pujian – Puji anak-anak atas usaha mereka tanpa mengira hasilnya. Pujian positif boleh membantu membina keyakinan mereka dari semasa ke semasa.
Cuba Fahami Mereka – Jika anak-anak tidak selesa berada di hadapan kamera pada masa tertentu, jangan marah mereka. Cuba fahami situasi mereka ketika itu. Mungkin mereka lapar atau sakit atau perasaan mereka terganggu.
Libatkan Rakan dan Adik-Beradik – Apabila ada orang lain, anak-anak mungkin akan rasa lebih selesa atau enjoy. Apabila yang lain teruja untuk bergambar, sedikit sebanyak anak-anak akan turut teruja.
Tunjukkan Shoot Terbaik Mereka – Kongsi dan paparkan foto atau video kegemaran mereka. Dengan cara ini dapat meningkatkan keyakinan mereka sekaligus menggalakkan mereka untuk bergambar.
Apa-apa pun, matlamat asalnya adalah untuk jadikan pengalaman itu suatu yang menyeronokkan agar dapat membina keyakinan anak-anak dari semasa ke semasa. Apabila mereka sudag selesa dengan kamera, mereka akan jadi lebih cenderung untuk terima peluang bergambar dan bersikap positif di hadapan kamera.
Jom follow, like dan share akaun sosial media kami:
FB: Tadika Aulad Musleh – Little Caliphs
IG: @littlecaliphsauladmuslehhq
Website: https://www.auladmusleh.com/