Bohonglah kalau kata kita sebagai ibu bapa tidak berasa sedih atau hampa abila mengetahui prestasi anak-anak di sekolah tidak memuaskan atau kurang memberangsangkan. Ketika itu, pasti ada terdetik di hati, apa silap kita selama ini? Adakah segala pengorbanan yang dibuat ini hanya sia-sia sahaja?
Tetapi anda perlu tahu dalam situasi ini anda tidak berseorangan. Perkara ini pasti ada jalan penyelesaiannya. Tetapi bagaimana? Sudahkah anda bersedia untuk terima sebarang perubahan di pihak anda?
Hari ini kami ada beberapa cadangan yang boleh anda pertimbangkan ketika berhadapan dengan perkara ini:
Pertimbangkan semula jangkaan anda – Anda harus bersikap realistik dan adil terhadap anak-anak. Ingatlah bahawa setiap anak-anak ini mempunyai kemahiran, bakat dan ‘level’ pembelajaran berbeza. Untuk itu anda harus menetapkan objektif yang boleh dicapai yang serasi dengan kemahiran dan pembangunan peribadi mereka kerana ini adalah lebih penting daripada yang lain-lain.
Berkomunikasi secara terbuka – Luangkan sedikit masa untuk perbincangan dari hati ke hati tentang prestasi anak anda. Cubalah untuk berempati dengannya selain memahami perspektif dan kesukaran yang mereka hadapi. Anda juga boleh jadikan ia suatu persekitaran yang mesra di mana anak-anak boleh menyampaikan idea dan kebimbangan mereka tanpa sekatan.
Fokus pada usaha dan kemajuan – Ia hanya akan membuang masa sekiranya anda hanya tertumpu pada keputusan peperiksaan akhir tahun atau gred dan lain-lain. Sebaliknya beri galakan kepada anak-anak supaya mereka boleh memberi usaha terbaik dan meraikan pertumbuhan serta peningkatan mereka, tanpa mengharapkan hasil tertentu.
Anda juga perlu akui kerja keras mereka dan bantu mereka untuk serlahkan kemahiran yang telah mereka lakukan sepanjang proses pembelajaran.
Kenal pasti isu asas – Sekiranya anak anda bergelut dalam bidang akademik atau pencapaian mereka secara berterusan, barangkali hal ini berkait isu asas yang perlu segera ditangani. Ia boleh jadi melibatkan masalah pembelajaran, kekurangan motivasi atau faktor luaran lain yang mempengaruhi prestasi mereka.
Anda juga boleh pertimbangkan untuk dapatkan bimbingan daripada guru, kaunselor sekolah atau mereka yang profesional dalam bidang pendidikan bagi mengenal pasti dan menangani sebarang cabaran yang mungkin mereka hadapi.
Sokongan tanpa henti – Jangan pernah berhenti untuk memberi sokongan anda terhadap anak-anak kerana ia sangat membantu dalam meningkatkan prestasi mereka. Memberi tunjuk ajar, menyediakan alat bantu belajar dan pembelajaran tambahan di luar sekolah merupakan sebahagian bentuk sokongan yang boleh anda lakukan.
Pada masa yang sama anda boleh galakkan mereka untuk dapatkan bantuan daripada guru, mentor atau perkhidmatan sokongan akademik sekiranya diperlukan.
Beri galakan perkembangan menyeluruh – Ingatlah bahawa kejayaan akademik bukanlah satu-satunya ukuran untuk menilai potensi anak-anak. Sebaliknya beri peluang dan galakan kepada mereka untuk meneroka dan mengembangkan minat di luar bidang akademik pula seperti sukan, seni atau hobi. Pupuklah secara menyeluruh yagar ia dapat merangkumi minat dan kekuatan mereka.
Raikan pencapaian bukan akademik – Apa salahnya jika sesekali anda raikan pencapaian bukan akademik anak-anak. Dengan ini anda daapt kenali personal growth mereka, kemahiran sosial, kemampuan kepimpinan atau apa sahaja sifat positif lain yang mereka miliki. Kemudian tunjukkanlah penghargaan atas kualiti dan pencapaian unik mereka ini dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Sebagai penutup, sebagai ibu bapa adalah penting untuk kita memberi kasih sayang, sokongan dan bimbingan kepada anak-anak tanpa sempadan. Ingatlah bahawa setiap anak-anak itu berbeza dan pencapaian mereka juga harus diraikan mengikut konteks pertumbuhan dan potensi individu mereka.
Fokuslah terhadap usaha bagi memupuk kesejahteraan mereka secara keseluruhan dan bantu mereka berkembang agar menjadi seorang individu yang yakin, berdaya tahan baik dari segi akademik mahupun peribadi.
Jom follow, like dan share akaun sosial media kami:
FB: Tadika Aulad Musleh – Little Caliphs
IG: @littlecaliphsauladmuslehhq
Website: https://www.auladmusleh.com/