Melancong Bersama Anak-Anak Jadi Mudah Dengan Cara Ini!

Ramai yang mengeluh bila melancong atau berjalan-jalan bersama anak-anak. Terlalu banyak kerenah dan ragam terpaksa ibu bapa hadapi. Namun selepas membaca perkongsian ini, kami percaya anda dapat mengurangkan masalah yang dihadapi dan menjadikan percutian keluarga lebih menarik dan bermakna

Apabila melancong bersama anak-anak, ada beberapa perkara penting yang ibu bapa perlu bersedia bagi memastikan rancangan ini berjalan lancar dan menenangkan.

Berikit beberapa cara yang boleh anda pertimbangkan:

Buat kajian dan perancangan – Kaji destinasi yang bakal anda tuju sepenuhnya termasuklah aktiviti yang mesra keluarga, tempat tarikan dan juga penginapan. Jangan lupa juga untuk mencari tempat-tempat yang dapat memenuhi keperluan dan minat anak-anak.

Susun barang-barang dengan bijak – Pastikan anda ada buat senarai semak barangan penting seperti pakaian, lampin, ubat-ubatan, makanan ringan, hiburan (buku, mainan, permainan) dan apa sahaja barangan lain yang mungkin diperlukan si kecil. Pakaian tambahan dan juga makanan ringan juga perlu diambil kira kerana dikhuatiri jika berlaku sebarang kelewatan atau kecemasan yang tidak dijangka.

Dokumen perjalanan – Semua dokumen perjalanan yang seperti pasport, visa, kad pengenalan dan myKid terkini disimpan dalam beg khas. Jika perlukan salinan dokumen sebagai ‘back up’, pastikan anda simpan di tempat berasingan.

Kesihatan dan keselamatan – Rujuk pakar pediatrik sebelum mulakan perjalanan bagi memastikan anak anda berada dalam keadaan sihat. Kit pertolongan cemas dengan keperluan seperti band-aid, salap antiseptik dan sebarang ubatan yang diperlukan disimpan sebaiknya. Jika perlu, anda senaraikan ubat-ubatan ini bagi memudahkan proses kastam dan imigrasi.

Pengaturan pengangkutan – Semuanya bergantung pada tempoh perjalanan. Anda hendaklah pertimbangkan hal-hal seperti menempah tiket penerbangan, kereta api atau mod pengangkutan lain yang selaras dengan jadual anak anda. Sekiranya anda mengembara dengan kereta, pastikan ada perancangan untuk berhenti rehat sekerap yang boleh.

Anak-anak kecil mungkin akan cepat bosan jika mereka berada di tempat sama. Dan jangan lupa… pastikan ada child seat untuk mereka demi keselamatan sepanjang perjalanan.

Penginapan – Pilih penginapan yang mesra kanak-kanak. Jika ada bayi, pastikan lokasi penginapan jauh daripada kawasan bising. Ia mungkin boleh mengganggu tidur bayi. Selain itu cuba pertimbangkan untuk menginap di hotel atau homestay berorientasikan keluarga. Paling penting ia selamat dan selesa untuk kanak-kanak.

Hiburan dan aktiviti – Perkara ini perlu dirancang dengan teliti agar ia bersesuaian dengan umur dan pilihan tempat untuk bersiar-siar. Anda boleh cari taman tema, zoo, muzium atau kawasan interaktif yang direka khas untuk kanak-kanak.

Minuman dan makanan ringan – Anda tidak perlu bawa dalam jumlah yang banyak. Cukup sekadar dapat mengalas perut anak-anak jika berlaku sebarang perkara tidak diingini ketika sedang melancong.

Keselamatan – Ajar dan sentiasa ingatkan anak-anak tentang keselamatan seperti sentiasa dekat dengan ibu bapa, tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali serta mengambil berat tentang persekitaran mereka. Jika berada di kawasan yang sesak, cuba pertimbangkan untuk guna ‘safety harness’ atau ‘anti lost wrist’ bagi mengelakkan anak-anak merayau tanpa tujuan atau hilang daripada pandangan.

Kesabaran dan fleksibiliti – Fahami bahawa perjalanan dengan anak-anak mungkin melibatkan kelewatan yang tidak dijangka, tantrum atau perubahan perancangan. Kekalkan sikap positif, bersabar, dan kekal fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan sebarang situasi yang mungkin timbul.

Ingat, setiap kanak-kanak adalah unik dan ada 1001 ragam dan kerenah. Jadi sebagai ibu bapa yang bijak sesuaikanlah persediaan anda dengan memenuhi keperluan dan minat tertentu anak anda. Dengan merancang lebih awal dan membuat persediaan yang baik, anda boleh jadikan cuti-cuti keluarga anda suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan lagi menyeronokkan.

Jom tonton perkongsian tentang tips mengembara bersama kana-kanak di SINI.