Cara Menggalakkan Anak-Anak Minum Air Kosong Setiap Hari

Menggalakkan anak-anak agar minum air kosong (air masak) setiap hari adalah suatu tabiat sihat dan mampu memberi manfaat demi kesejahteraan keseluruhan kesihatan mereka. Tahukah anda bahawa kanak-kanak kecil dan bayi merupakan golongan berisiko tinggi untuk mengalami dehidrasi?

Jadi bila anak anda menangis kerana haus itu tandanya mereka sudah mengalami dehidrasi dan jangan sesekali memberi mereka minuman yang mengandungi kadar gula yang tinggi.

Untuk memastikan anak-anak gemar minum air kosong, maka adalah wajar sebagai ibu bapa kita menunjukkan contoh kepada mereka terlebih dahulu. Kami ada beberapa cara yang mana ibu bapa boleh menormalisasikan minum air kosong untuk anak-anak:

Jadi role model – Kanak-kanak sering meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Untuk itu pastikan anda tunjukkan kepentingan minum air dengan lakukannya sendiri. Biarkan mereka melihat anda pilih air kosong berbanding minuman manis selain menjadikan air kosong sebahagian daripada rutin harian anda.

Didik tentang faedah air kosong – Terangkan kepada mereka mengapa air kosong penting untuk kesihatan. Selain itu beritahu mereka bahawa air kosong dapat membantu mengekalkan badan terhidrat, melancarkan penghadaman, meningkatkan tumpuan dan menyokong kesejahteraan fizikal dan mental secara keseluruhan.

Jadikan ia mudah untuk diminum – Pastikan air kosong sentiasa tersedia untuk anak-anak sepanjang hari. Sediakan botol air atau gelas berisi air yang mudah diakses di rumah, dalam beg sekolah mereka atau semasa di luar rumah. Dengan cara ini menjadikan anak anda berkemungkinan memilih air kosong berbanding minuman manis.

Jadikan minum air kosong sesuatu yang menyeronokkan – Guna botol air berwarna-warni yang diserikan dengan watak animasi atau warna kegemaran mereka. Anda juga boleh membiarkan mereka memilih cawan atau botol air khas mereka sendiri. Galakkan mereka untuk menghias botol air atau gelas mereka dengan pelekat atau penanda yang mereka gemari.

‘Set timer’ – Adakala akibat terlalu leka bermain atau terlibat sesuatu aktiviti, anak-anak mungkin lupa minum air. Jadi selepas ini apa kata anda set timer pada waktu siang khususnya bila mereka perlu minum air. Anda boleh guna jam penggera, nota pelekat atau peringatan secara lisan untuk memastikan mereka kekal terhidrat.

Cari kelainan – Tambahkan kelainan pada air kosong dengan pelbagai hirisan buah-buahan seperti lemon, timun atau beri. Anda juga boleh campurkan daun pudina segar atau beberapa daun selasih untuk rasa yang nikmat. Ini menjadikan air kosong lebih menarik untuk dinikmati anak-anak.

Hadkan minuman bergula – Kadang kita tidak dapat mengelak daripada keinginan untuk minum air manis. Tetapi elakkan pengambilan secara berlebihan, ya. Mungkin seminggu sekali minum air manis?

Sediakan ‘reward’ – Dengan adanya ‘reward’ anak-anak akan jadi lebih bersemangat untuk terus menjadikan air kosong sebagai tabiat harian mereka. Jika mereka dapat habiskan lebih 1 liter air kosong sehari, berikan mereka ganjaran atau kumpul ganjaran tersebut untuk sebulan. Pasti mereka akan jadi lebih bersemangat dan bermotivasi.

Ya, kita harus memahami bahawa kanak-kanak mungkin akan mengambil masa untuk mengamalkan tabiat minum air kosong sepenuhnya. Apa yang penting kesabaran, konsistensi dan sentiasa positif adalah kunci untuk membantu mereka mengekalkan tabiat sihat ini dari semasa ke semasa.

Saksikan video ini untuk dapatkan nasihat doktor tentang berapa banyak air kosong yang perlu diambil kanak-kanak mengikut usia mereka. Tonton di SINI.