Cara Mudah Ajar Anak-Anak Ucap Terima Kasih

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)

Sebagai Muslim kita dituntut untuk menjadi hamba yang bersyukur. Seperti yang termaktub dalam firman di atas, amat jelas akan balasan terhadap orang yang kufur nikmat Allah SWT. Untuk orang dewasa, mungkin mudah untuk kita ‘spread awareness’ tentang rasa bersyukur.

Tapi bagi golongan kanak-kanak, mereka ‘tidak nampak’ apa itu makna bersyukur dan kepentingannya. Namun kita sebagai ibu bapa boleh membantu dan mengajar mereka untuk bersyukur melalui amalan ucapkan terima kasih.

Mengajar anak-anak untuk ucapkan terima kasih merupakan satu daripada aspek penting dalam membina perkembangan sosial dan emosi mereka. Berikut kami kongsikan beberapa strategi untuk bantu ibu bapa mengajar anak-anak cara menyatakan rasa terima kasih:

Contoh melalui teladan – Seperti kita maklum anak-anak belajar melalui pemerhatian mereka / dengan memerhati tingkah laku ibu bapa atau penjaga mereka. Oleh itu pastikan anda secara konsisten mengucapkan terima kasih mengikut keadaan. Apabila anak-anak kerap perhatikan anda ucapkan terima kasih, tidak mustahil mereka jadi cenderung untuk mengamalkan tingkah laku yang sama.

Mula dari awal – Ajar anak-anak untuk bersyukur sejak kecil. Sebaik sahaja mereka mula memahami bahasa, masukkan perkataan ‘terima kasih’ dalam rutin harian mereka.

Jelaskan maksud ‘terima kasih’ – Bantu mereka untuk fahami maksud ‘terima kasih’. Jelaskan juga yang ‘terima kasih’ adalah satu daripada cara ntuk menzahirkan penghargaan untuk sesuatu yang baik atau bermanfaat yang telah dilakukan seseorang untuk mereka.

Main peranan / role-play – Ibu bapa ‘berpura-pura’ terlibat dalam sesuatu senario yang mana anda bergilir-gilir dengan anak dan melakonkan situasi di mana mereka menerima sesuatu dan berpeluang untuk ucapkan ‘terima kasih’. Ini secara tidak langsung membantu mereka berlatih dan selesa dengan frasa tersebut.

Mengukuhkan tingkah laku positif – Apabila anak-anak ‘teringat’ untuk ucapkan ‘terima kasih’, sebaiknya anda terus berikan pujian dan akui usaha mereka. Peneguhan positif ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk terus menggunakan frasa tersebut pada masa hadapan.

Guna alat bantu visual – Untuk anak-anak yang belum masuk dua tahun, anda boleh guna alat bantu visual seperti kad gambar atau pelekat dengan perkataan ‘terima kasih’. Ia boleh jadi peringatan berguna untuk mereka. Kemudian letakkan di tempat yang boleh dilihat seperti di peti sejuk atau berhampiran kotak permainan mereka. Sesekali anda boleh menggesa mereka untuk menyebut perkataan itu.

Tunjukkan alternatif untuk menzahirkan rasa ‘terima kasih’ – Pelbagaikan cara untuk anda berikan pujian, bukan sekadar pengucapan sahaja. Anda boleh tulis nota ‘terima kasih’ atau jika mahir melukis, anda boleh ‘luahkan’ rasa ‘terima kasih’ melalui lukisan.

Ajar cara bersyukur melalui berdoa – Sebagai contoh, lepas solat ajar anak doa-doa pendek yang menunjukkan rasa syukur dan berterima kasih. Ataupun tunjukkan mereka untuk ucapkan Alhamdulillah dengan apa yang telah mereka terima sepanjang hari itu. Ini dapat membantu anak-anak memupuk minda bersyukur dalam kehidupan seharian mereka.

Pupuk rasa empati – Anda boleh bantu anak-anak memahami bagaimana perkataan dan tindakan mereka boelh memberi kesan kepada orang lain. Bercakap tentang perasaan apabila seseorang itu mengucapkan ‘terima kasih’ kepada mereka dan bafaimana ia boleh membuatkan mereka rasa dihargai. Empati ini dapat memotivasikan anak-anak untuk menzahirkan rasa bersyukur dalam diri mereka.

Bersabar dan konsisten – Belajar untuk ucapkan ‘terima kasih’ adalah suatu proses dan kanak-kanak mungkin memerlukan peringatan dan peneguhan. Bersabar dan teruskan contoh tingkah laku selian mengingatkan mereka secara konsisten untuk zahirkan ucapan ‘terima kasih’ dalam situasi berbeza.

Ingatlah, mengajar untuk rasa bersyukur adalah suatu proses berterusan yang memerlukan kesabaran dan pengulangan. Dengan memasukkan strategi ini ke dalam interaksi anda dengan anak-anak, anda boleh membantu mereka mengembangkan penghargaan untuk orang lain dan membentuk generasi bersyukur.