Ada setengah anak sangat ‘keras kepala’. Tidak pernah mahu mengalah. Mereka saja yang betul. Mahu sentiasa menang.Itu sebenarnya label yang kita letak pada mereka. Hakikatnya, mereka ada keinginan yang kuat. Mereka pertahankan apa yang mereka rasa benar. Tugas kita adalah bantu mereka supaya mereka gunakan kelebihan itu (yang selalu kita rasakan sebagai kekurangan atau kelemahan) pada cara yang betul.
1) Pertama sekali, buang segala label dari dalam kepala kita. Kerana label itu meletakkan anak pada sisi yang negatif. Tukarkan kepada suatu yang positif. Macam saya tulis di atas tadi, anak ini ada keinginan yang kuat. Mereka tidak akan mudah terpengaruh. Kalau betul caranya, mereka akan membesar sebagai seorang yang berintegriti dan bermaruah.
2) Hubungan kita dengan anak adalah segala-galanya. Jalinkan hubungan yang baik. Bukan ‘bermusuh’ dengan mereka. Anak akan merasakan kita ‘musuh’ bila kita melihat setiap apa yang dilakukan itu salah semuanya. Tidak pernah betul. Sikit-sikit kena marah. Sikit-sikit kena tegur. Ibu ayahnya tak pernah bersetuju dan tidak pernah menyokong apa yang dia buat. Hanya kerana tindakan mereka itu tidak selari dengan kehendak ibu ayahnya. Jadi, bina hubungan kasih sayang. Bukan kerana dia anak, maka dia sentiasa salah. Bukan kerana kita yang melahirkan, maka kita sentiasa betul.
3) Jangan jadi cicak. Tiber cicak dapat nama. Haha.. apa yang saya maksudkan adalah jangan respon setiap tindakan anak menggunakan ‘otak cicak’ atau your primitive emotion brain. Sebaliknya respon lah dengan cara yang tenang dan rational yang mana hanya otak orang dewasa saja boleh lakukan perkara ini. Jadi kalau anak asyik mengamuk atau tak dengar cakap, berhenti dan tarik nafas dalam-dalam. Kemudian kata pada diri sendiri, “aku bukan cicak.” Tiada manusia dilahirkan untuk jadi jahat atau nakal. Mesti ada cara untuk membentuk mereka. Itu tugas kita sebagai ibu ayah.
4) Beri mereka tanggungjawab. Dan sebut tanggungjawab itu dengan jelas pada mereka. Contohnya, “Furqan, ibu tugaskan awak untuk buang sampah setiap hari. Setiap orang ibu dah susunkan tugas. Kakak kena cuci pinggan. Emad kena susun selipar. Ninna belum lagi sebab dia masih kecil. Jadi awak buang sampah. Boleh?” Mereka lebih senang cara begini. Jadi bila dia terlupa, ingatkan saja. Tak perlu marah.
5) Hargai setiap perkara baik yang dia lakukan. Anak kemas bilik, sebut ‘”Bagus awak sudah kemas bilik.” Anak sudah buang sampah, ucap, “Terima kasih Furqan, tolong ibu buang sampah.” Bila dia tolong angkat baju, “Alhamdulillah awak tolong ibu angkat baju. Ibu tak sempat.” Kuncinya adalah puji perbuatan baik itu. Bukan puji dirinya.
Anak yang ada karakter begini akan jadi asset besar buat agama, bangsa dan negara. Mereka akan tetap teguh berdiri walaupun berhadapan dengan musuh. Mereka tetap gagah walaupun ujian itu berat. Mereka anak yang hebat.Tapi, mereka akan rebel kalau kita bersikap keras. Mereka akan stress dan tertekan bila kita sentiasa salahkan mereka. Mereka mungkin hormat kerana kita berstatus ibu dan ayah tapi rasa sayang itu mungkin nipis.