Seorang sahabat lama bertanya pendapat saya. Anaknya tidak mahu pergi sekolah. Meraung bila dikejut untuk bangun pagi.
Well, itu anak dia. Anak orang lain mungkin lebih dramatik lagi. Mengamuk tidak tentu pasal. Moody sepanjang hari. Ibu ayah tidak tahu punca anak moody dan mengamuk. Makan masih mahu bersuap. Sentiasa berebut dengan adik. Sepahkan mainan dan baju. Tidak mahu mandi. Tidak mahu gosok gigi. Boleh hanginnn mak pak dia kan?
Tak usah cerita anak orang lain. Anak saya pun sama.
Beginilah, sebenarnya anak 5 tahun masih sangat mahu bermanja terutama dengan ibunya. Emad, asal ada peluang dia akan duduk atas riba saya. Bila dia nampak saya tidur dan mimpi sampai langit ke tujuh, dia akan ambil kesempatan dan tidur sebelah saya.
Anak 5 tahun masih perlukan ‘cuddle time’. Setiap hari. Jangan anggap mereka sudah besar dan perlu behave sebagai orang dewasa. Tidak sama sekali. Mereka sangat perlu kepada pelukan dan ciuman ibunya. Kalau tidak percaya, petang nanti cuba buat. Kemudian perhatikan riak muka mereka. Macam ada nur gitu.
Semakin lama saya memerhati, memang betul ramai ibu bapa menganggap anak 5 tahun sudah besar. Perlu behave dan bertindak sebagai orang dewasa. Tak perlu dimanja lagi. Tak perlu sayang-sayang lagi. Lagi pun, ada adik yang lebih kecil. Kita harap anak kita faham keletihan kita. Kita harap anak kita tahu emosi kita pun sudah ke laut.
Anggapan dan harapan ini perlu diubah.
Kajian menunjukkan, anak-anak lebih mudah menerima apa sahaja input apabila otaknya dalam keadaan tenang dan relax.
Cuddle time memberi rasa tenang dan bahagia kepada anak. Ini objektif utama cuddle time. Supaya anak tenang dan bahagia. Emosinya lebih stabil.
Seperkara lagi, jadi ibu ayah kena opportunist. Bila anak sudah tenang dan bahagia, gunakan masa terbaik itu untuk tanamkan nilai dalam diri mereka.
Emad, setiap hari Emad kena happy tau bila bangun tidur.
Emad, lepas makan kena angkat pinggan letak dalam sinki ye.
Emad, beg sekolah kena susun elok-elok.
Gunakan ayat yang positif. Elakkan guna jangan. Jangan itu, jangan ini. Kadar serapan jadi perlahan nanti. Lepas tu komplen pula. Boleh ke boleh?