Bayar lebih untuk pendidikan awal kanak-kanak, perlu atau tidak?

Keperluan atau sebaliknya

Adakah anda mempunyai anak yang berumur 0-6 tahun? Seawal umur berapa tahun kita sebagai ibu bapa perlu bayar lebih untuk pendidikan anak-anak kita?

Sebelum saya berkecimpung dengan dunia pendidikan awal kanak-kanak dan didedahkan dengan perkembangan kanak-kanak.

Saya belum nampak di mana keperluan untuk bayar lebih bagi pendidikan anak-anak seawal umur 0 tahun. Setelah terdedah ilmu pendidikan awal kanak-kanak, sangat wajar untuk ibu bapa bayar lebih untuk pendidikan anak-anak seawal umur 0 tahun.

Jom kita bincang bersama.

Perkembangan anak-anak

Tahukah anda bahawa sel otak adalah satu-satunya sel dalam tubuh badan manusia yang tidak akan tumbuh. Tambahan, terbina semula sekiranya sel tersebut mati?

Tahukah anda bahawa perkembangan otak anak-anak berkembang berlaku dengan pesat seawal umur 0 tahun?

Tahukah anda bahawa pada fasa perkembangan otak yang pesat ini akan mempengaruhi kemahiran asas anak-anak kita di masa akan datang? Seperti bercakap, berfikir, menulis dan sebagainya.

*1) Penyambungan saraf-saraf otak terhadap perkembangan yang berbeza

Sel-sel otak berhubung antara satu sama lain, ataupun penghantaran maklumat dalam otak adalah melalui saraf (nerve cells/ neuron). Perkembangan otak inilah yang akan mempengaruhi kemahiran bercakap, membaca, beremosi dan lain-lain.

Merujuk kepada gambar di atas, perkembangan otak berlaku dengan pesat seawal umur 0 tahun. 0-3 tahun adalah fasa perkembangan mendengar dan melihat. Fasa 0-5 tahun adalah fasa perkembangan bahasa (berkomunikasi). Fasa umur 0-11 tahun adalah fasa perkembangan kognitif.

Oleh yang demikian, pemberian input yang maksimum seawal umur 0-11 tahun amatlah penting. Dari sudut perkembangan bahasa atau komunikasi, pada umur 0-5 tahun adalah waktu untuk kita dedahkan. Dengan cara berkomunikasi sama ada bertutur atau gaya bahasa.

Perlu didedahkan dengan perbendaharaan kata yang banyak melalui aktiviti yang menarik seperti role-play, pretend play dan lain-lain lagi. Aktiviti-aktiviti ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya dilakukan secara beramai-ramai di taska dan tadika.

Begitu juga dengan perkembangan kognitif iaitu kemahiran untuk anak-anak menyelesaikan masalah, mengingat sesuatu, memproses maklumat dan lain-lain. Input yang maksimum perlu diberikan seawal mungkin melalui aktiviti mengikut tahap umur masing-masing. Fasa ini juga merupakan fasa yang sangat sesuai untuk ajaran aqidah kepada anak-anak.

Siapa Tuhan mereka, siapa Pencipta alam semesta, siapa turunkan hujan dan sebagainya. Eksperimen-eksperimen ringkas seperti belajar tentang prinsip tenggelam-timbul, bagaimana pokok tumbuh dan bermacam lagi aktiviti lain. Menjadi keperluan juga untuk aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan supaya anak-anak belajar adab dan akhlak bersama kawan-kawan (berkongsi, ambil giliran).

Alangkah ruginya kita membiarkan anak pada umur 0-6 tahun tidak menerima sebarang pembelajaran formal di taska dan tadika. Pada tahap umur inilah pelbagai input perlu diberikan kepada anak-anak kita supaya dewasa nanti banyak kemahiran yang boleh dia perolehi.

Dulu dan sekarang

Ya, mungkin akan ada yang berpendapat kita dulu umur 6 tahun baru masuk tadika. Elok je sampai besar dapat 5A juga untuk UPSR. Dapat juga konvo dari universiti dan dapat kerja yang baik.

Tetapi, kita harus ingat bahawa masa depan anak-anak kita tidak akan sama dengan zaman kita sekarang. Cabaran yang bakal mereka lalui tidak akan sama seperti kita hadapi sekarang. Pada zaman kita, habis belajar, insyaAllah memang akan dapat kerja, zaman anak-anak kita nanti agaknya bagaimana?

Kita sebagai ibu bapa, perlu berikan hak yang sebaiknya kepada anak-anak kita. Sediakan kemudahan untuk mereka menjadi seorang muslim yang terbaik dan akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kegemilangan Islam itu sendiri.

Rujukan:

  • A. Nelson (2000). Credit: Center on the Developing Child