Fikirkan.
Apa pendapat anda semua tentang memberi ganjaran kepada anak yang buat kebaikan dan menghukum anak yang buat kesalahan?
Bagus ataupun sebaliknya? Hanya beri ganjaran tanpa menghukum atau sebaliknya? Seimbang keduanya?
Mari kita bincangkan bersama.
Definisi
Definisi bagi GANJARAN adalah sesuatu pemberian sebagai tanda berjasa; hadiah pembalas jasa. Manakala definisi bagi HUKUMAN pula adalah seksaan atau penderitaan yang dikenakan kepada pelaku salah.
Sekiranya kita kaitkan dengan pendidikan anak-anak, ganjaran adalah hadiah atas kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak dan hukuman merujuk kepada denda yang kita kenakan kepada anak-anak atas kesalahan yang mereka lakukan.
Ganjaran dan aplikasinya.
Merujuk kepada buku Pengenalan kepada Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, karya Jas Laile Suzana Jaafar, memberi pujian atau ganjaran secara material atau bukan material mampu menerapkan satu sistem penghargaan ke atas kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku yang positif.
Ibu bapa tidak perlu pening kepala untuk mencari hadiah kepada anak-anak sebagai ganjaran, kerana ganjaran berbentuk bukan material sudah memadai. Sebagai contoh, sediakan satu carta “Amal Baik” untuk setiap anak-anak kita dan sekiranya mereka melakukan kebaikan, berikan mereka sticker yang cantic-cantik untuk mereka tampalkan di carta “Amal Baik” mereka. Perkara ini bagus kerana, anak-anak dapat melihat sendiri banyak mana kebaikan yang mereka telah lakukan. Kemudian, sekiranya sudah penuh carta dengan sticker, bolehlah para ibu bapa berikan ganjaran berbentuk material seperti buku cerita para sahabat dan sebagainya.
Hukuman dan aplikasinya.
Menurut Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dalam buku hasil nukilan beliau iaitu Petua Membantu Anak Berjaya, peranan hukuman atau denda adalah untuk mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin.
Hukuman atau denda ini haruslah bertepatan dengan peringkat umur anak-anak. Bagi anak-anak yang berumur bawah 2 tahun, mereka masih belum mumayyiz (mampu membezakan yang baik dan yang buruk). Ini bermakna segala yang mereka lakukan hanyalah atas dasar keinginan mereka untuk meneroka alam kehidupan. Kita sebagai ibu bapa perlu tunjuk ajar apa yang baik atau sebaliknya dan menghalang anak-anak terhadap segala perbuatan yang berbahaya. Ajar mereka apa itu sakit, panas, jatuh supaya mereka faham apa yang berlaku. Untuk mengajar mereka atas perbuatan yang salah, boleh diamalkan time out iaitu, minta mereka berdiri di satu sudut menghadap dinding (sebagai contoh) selama 1-2 minit.
Bagi anak-anak berumur 3-7 tahun, mereka telah memasuki alam untuk memahami apa yang berlaku (persediaan untuk mumayyiz). Bercakap pun sudah petah. Pada peringkat ini, pertama-tamanya haruslah ibu bapa untuk menyenaraikan peraturan-peraturan di dalam mahupun di luar rumah. Terangkan kepada mereka konsep peraturan ini adalah untuk menjaga keselamatan, berdisiplin, patuh perintah Allah dan memelihara akal, nyawa, keturunan, harta benda dan kehormatan. Perlu juga dinyatakan siap-siap akan akibat, denda atau hukuman yang akan dikenakan sekiranya peraturan itu dilanggar oleh anak-anak. Hal ini supaya anak-anak faham apa yang berlaku dan mereka sedikit sebanyak akan lebih seimbang emosi sekiranya mereka menerima hukuman atas kesalahan mereka.
Antara hukuman yang boleh dikenakan adalah seperti time out. Namun, selepas selesai memberi hukuman, perlu ibu bapa berbincang dan bercakap dengan anak tersebut tentang apa yang berlaku, mengapa dia menerima hukuman dan apa yang harus dia lakukan selepas ini.
Ganjaran atau Hukuman perlu ada elemen ini!
Ya, sama ada anda mahu memberi ganjaran atau hukuman anda perlu ada elemen ini, iaitu ADIL. Berusahalah untuk berlaku seadilnya kepada semua anak-anak kita. Sekiranya anak memang melakukan kebaikan dan kita telah janjikan ganjaran tertentu, jangan lupa untuk berikan ganjaran tersebut.
Sekiranya anak kita melakukan kesalahan, kita perlu betul-betul menjatuhkan hukuman atau memberi denda kepadanya, jangan lengah!
Sekiranya kita tidak ambil kisah akan apa yang kita katakan kepada anak-anak kita, kita sebenarnya mengajar anak kita untuk berbohong dan memungkiri janji.
Disebalik Ganjaran dan Hukuman
Sedar atau tidak konsep ganjaran dan hukuman ini, sekiranya dalam Islam adalah konsep SYURGA- NERAKA dan PAHALA-DOSA. Allah telah menciptakan syurga khas untuk manusia yang patuh akan arahan Allah dan mendapat rahmat dariNya dan Neraka pula khas untuk mereka yang ingkar, yang mensekutukan Allah.
Oleh yang demikian, pada hemat saya, memberi ganjaran mahupun hukuman kepada anak-anak adalah pintu kepada didikan akidah tentang penciptaan syurga dan neraka. Terangkan kepada anak-anak apa itu syurga, apa itu neraka. Mengapa kita perlu dapatkan syurga dan menjauhi neraka. Terangkan juga konsep pahala yang ibarat seperti carta “Amal Baik”. Terangkan kepada mereka di akhirat nanti kita akan menerima buku amalan masing-masing sama ada dengan tangan kanan mahupun tangan kiri.
“Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ‘Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!’ “(Al-Haqqah 69:19)
“Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): ‘ Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,’” (Al-Haqqah 69:25)
Tanamkan rasa sayang mereka kepada Allah dan Nabi melebihi segala yang lain. Supaya anak-anak kita terdidik untuk menjadi seorang Muslim yang punyai jati diri yang baik dan teguh walaupun di mana mereka berada.
Sekian saja. Happy Parenting!
Want to share more on this subject? I suspect you could be downplaying some of the more controversial lines of thinking, but I for one, enjoy hearing them!