Masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja sangatlah membimbangkan. Kadangkala kes yang kita baca itu tak terjangkau dek akal dan sangat mengejutkan. Lagi-lagi di zaman teknologi yang selalunya memintas kita sebagai ibu bapa. Contoh yang selalu disebutkan adalah applikasi WeChat. Ibu bapa mana yang tidak risau? Lagi-lagi yang punya anak perempuan.
Mahu atau tidak, ibu bapa perlu kembali kepada fungsi asal mereka. Mendidik anak dengan nilai akidah dan tauhid kerana inilah yang akan menjadi benteng buat mereka. Jika tidak tahu bagaimana ingin menanam nilai ini, jangan pasrah. Pergi belajar, baca buku dan cari ilmu tersebut. Jangan fikir, kita sudah hantar anak belajar agama, sekolah agama maka segala-galanya akan selesai.
Ingat, anak kita tanggungjawab kita.
Jundub bin Junadah berkata, “Dahulu kami telah bersama Nabi saw sejak kami masih remaja dan mendekati usia baligh. Kami mempelajari iman sebelum mempelajari Al-Quran dan kemudian kami mempelajari Al-Quran sehingga iman kami bertambah dengan mempelajari Al-Quran tersebut.”
Begitulah, Rasulullah saw mengajarkan iman kepada para sahabat sebelum mengajarkannya Al-Quran. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Ajarkanlah kepada anak-anak kalian pada permulaaan bicaranya ucapan Lailahaillallah dan ajarilah ia agar di akhir hayatnya mengucap Lailahaillallah.”
Ini bermaksud, kosa kata awal ketika anak mula belajar bercakap adalah mengucapkan cabang iman yang paling utama dan tertinggi iaitu kalimah Lailahaillallah.
Bila mahu mula ajar begini?
Di saat anak sudah mula mengenal dan mula membezakan (tamyiz). Mulakan dengan memperkenalkan kuasa Allah yang luar biasa dan ciptaanNya yang sungguh menakjubkan, iaitu dengan memerhati serta memikirkan tentang ciptaan langit dan bumi.
“Tengok tu AWAN”
“Look..ada MOON”
“Banyak nya KERETA”
Untuk menanamkan akidah, ibu bapa boleh tambahkan sedikit perbualan itu.
“Tengok tu AWAN. Cantik kan?”
“Siapa yang cipta AWAN?”
“Allah cipta AWAN”
“Allah hebat sangat!”
“Mari sebut Masya Allah”
Kemudian, bimbing anak secara terus-menerus untuk mengenal ciptaan Allah yang pelbagai; dari yang kecil kepada yang besar, dari yang dapat dirasakan dengan pancaindera kepada yang mesti difikirkan dengan akal fikiran, dari sebahagian ciptaan kepada keseluruhannya sehingga akhirnya si anak akan tiba kepada pusingan terakhir dalam hal-hal mengenai keimanan dengan penuh kepuasan, beserta dalil dan alasan.
Apabila si anak mendapat didikan tentang keimanan yang jitu dari usia kecil, dan akalnya telah disogok dengan dalil-dalil yang kukuh mengenai tauhid dan keesaan Allah, nescaya jiwanya tidak akan mudah digegarkan oleh gejala-gejala pemesongan yang merosakkan I’tikadnya. Propaganda-propaganda jahat juga tidak dapat sama sekali mempengaruhi otaknya yang sudah matang dan menggoncang jiwanya. Kerana jiwanya telah dipenuhi oleh ciri-ciri iman yang tetap, keyakinan yang kukuh serta kepuasan yang sempurna.